Sejarah Ringkas Perlombongan Bijih Timah di Negeri Sembilan

Sejarah Ringkas Perlombongan Bijih Timah di Negeri Sembilan

August 19, 2021 Artikel 0

Negeri Sembilan merupakan antara negeri pengeluar bijih timah sejak kedatangan Portugis di Melaka. Menurut R.O. Winstedt (1934), tidak dapat dinafikan lagi bahawa sememangnya kegiatan perlombongan bijih timah sudah mula dijalankan di Negeri Sembilan sejak zaman penjajahan Portugis ke atas Melaka, tetapi ia hanyalah berskala kecil. Pada awalnya kegiatan perlombongan bijih timah di Negeri Sembilan ini telah dijalankan oleh orang Melayu. Pada ketika itu, orang Melayu hanya melombong bijih timah secara kecil-kecilan sahaja.

Masyarakat tempatan telah mengusahakan aktiviti perlombongan bijih timah ini dengan menggunakan kaedah tradisional iaitu cara mendulang dan melampan. Masyarakat tempatan juga menjalankan kaedah melombong secara lombong dedah. Teknik ini bukanlah satu teknik yang diperkenalkan oleh imigran Cina yang berasal dari Yunnan dan Kwangsi. Teknik lombong dedah ini secara faktanya telah diusahakan oleh masyarakat Melayu, namun imigran Cina hanyalah menyesuaikan dan memperbaiki kaedah tersebut. Walau bagaimanapun, kaedah lombong dedah yang dijalankan oleh masyarakat Melayu ini mempunyai dua permasalahan iaitu mereka tidak mempunyai alat-alat perlombongan yang sesuai untuk menggali bijih timah dengan lebih dalam serta menghadapi masalah berterusan akibat banjir yang menyukarkan aktiviti perlombongan ini.

Seterusnya, pada akhir abad ke-19 kegiatan perlombongan bijih timah telah mula menunjukkan perubahan apabila kemasukan pelombong-pelombong dari Cina, dimana mereka telah memperbaiki kaedah perlombongan bijih timah. Pelombong-pelombong Cina ini sangat mahir dalam sektor perlombongan bijih timah walaupun mereka menggunakan kaedah, teknik atau teknologi yang primitif tanpa menggunakan sebarang mesin atau alat yang canggih. Antara kaedah perlombongan yang diperkenalkan oleh pelombong Cina adalah pam rantai atau chin-cia. Walaupun kaedah ini lebih ringkas dan dapat menghasilkan pengeluaran bijih timah yang lebih banyak, tetapi peralatan yang digunakan masih lagi bersifat primitif dan memerlukan tenaga kerja yang ramai. Lebih lagi, pemodal dan pelombong Cina juga dikatakan telah menggunakan perkhidmatan pawang atau bomoh di dalam aktiviti perlombongan bijih timah. Hal ini kerana mereka percaya bahawa pawang adalah sebagai “[…] a nose for tin and […] a very good knowledge of prospecting and give, if he chooses, a good opinion on the quality of tin ores.”

Sehubungan dengan itu, dapat dilihat bahawa pada awal tahun 1900-an, Tanah Melayu telah menjadi pengeluar dan pengeksport bijih timah dunia. Antara syarikat yang terawal melibatkan diri dalam aktiviti perlombongan bijih timah di Negeri Sembilan adalah Seremban Tin Mining Company, Sepiau Tin Slucing Company, The Linggi River Dredging Company dan The Jelebu Mining and Trading Company.

Kaedah yang diperkenalkan oleh pelombong Cina dalam kegiatan perlombongan bijih timah ini telah memberikan kejayaan. Ramai pelabur-pelabur Eropah mula menceburkan diri dalam kegiatan perlombongan. Oleh hal yang demikian, pada awal abad ke-20, antara kawasan perlombongan bijih timah di Negeri Sembilan adalah Pajam, Batang Benar, Lenggeng, Rahang dan Mambau. Perlombongan bijih timah juga dijalankan di daerah Jelebu oleh Kenaboi Limited. Manakala perlombongan bijih timah di Lukut pula telah diusahakan oleh firma Kong Hup. Jadi, itulah perlombongan bijih timah di Negeri Sembilan sehingga awal abad ke-20 yang menunjukkan peningkatan dalam sektor ekonomi bijih timah. Sememangnya Negeri Sembilan merupakan antara negeri yang menjadi pengeluar bijih timah yang besar di Tanah Melayu. Kekayaan hasil bijih timah tersebut secara tidak langsung telah memberikan pelbagai kemudahan di Negeri Sembilan, misalnya seperti stesen keretapi dan jalan raya.

Facebooktwitterredditpinterestlinkedinmail