Tarian Piring di Negeri Sembilan

Tarian Piring di Negeri Sembilan

August 26, 2021 Artikel 0

Penghijrahan orang Minangkabau ke Negeri Sembilan meninggalkan warisan dan kesenian yang kini dapat dilihat di Negeri Sembilan, seperti seni tari yang dikenali sebagai Tarian Piring. Tarian Piring juga dikenali sebagai Tari Piriang (dalam Minangkabau) merupakan sebuah seni tari milik orang Minangkabau yang masih diamalkan oleh penduduk di Negeri Sembilan. Namun demikian, tidak dapat dipastikan dengan tepat mengenai sejarah Tarian Piring ini. Walau bagaimanapun, ianya dipercayai telah wujud sekian lama di kepulauan Melayu sejak lebih 800 tahun yang lalu.

Tarian ini dipercayai telah bertapak di Sumatera Barat atau lebih dikenali sebagai Minangkabau dan berkembang hingga ke zaman Srivijaya.

Jabatan Warisan Negara. Diakses pada 23.08.2021 menerusi laman web http://www.heritage.gov.my/arkib-berita-jwn/2-info-jwn/264-warisan-tidak-ketara-seni-persembahan-tarian-2.html

Kemunculan kerajaan Majapahit pada abad ke-16, yang menjatuhkan kerajaan Srivijaya telah mendorong perkembangan Tarian Piring ke negeri-negeri Melayu. Di Negeri Sembilan, dipercayai bahawa Tarian Piring di hadapan pengantin telah dibawa bersama oleh masyarakat Minangkabau dari Sumatera Barat semasa mereka berhijrah ke Negeri Sembilan.

Mohd Zin Mohd Sahid, Pengenalan Ringkas Tari Piring, Pejabat Kebudayaan dan Kesenian Negeri Sembilan,
1998, Hlmn 2

Sejak daripada itu hingga kini, Tarian Piring ini telah diterima sebagai sebahagian daripada upacara adat di majlis perkahwinan yang melibatkan persandingan dikalangan masyarakat di Negeri Sembilan. Tarian Piring mempunyai peranan yang besar dalam adat istiadat perkahwinan masyarakat Melayu di Negeri Sembilan.

Pada awalnya, persembahan Tarian Piring di majlis-majlis perkahwinan adalah untuk hiburan semata-mata. Namun demikian, persembahan tersebut berperanan lebih daripada itu. Persembahan Tarian Piring didalam sesebuah majlis perkahwinan boleh dirasai peranannya oleh empat pihak iaitu, kepada pasangan pengantin, tuan rumah, orang ramai dan penari sendiri.

Pasangan pengantin adalah orang yang diraikan didalam majlis perkahwinan dan mereka ini digelar sebagai “Raja Sehari”. Oleh itu, persembahan Tarian Piring di hadapan mereka adalah pelengkap kepada hari bersejarah tersebut. Dalam masa yang sama, pasangan pengantin akan merasakan bahawa kehadiran mereka sebagai “Raja Sehari” itu sedang dinanti-nantikan oleh orang ramai dengan simbolik ‘selamat datang’ menerusi Tarian Piring tersebut. Tarian Piring mempunyai gerakan yang menyerupai gerakan para petani semasa bercucuk tanam, membuat kerja menuai dan sebagainya.
Tarian ini melambangkan rasa gembira dan syukur dengan hasil tanaman mereka. Tarian ini merupakan tarian gerak cepat dengan para penari memegang piring di tapak tangan mereka, diiringi dengan pukulan Rebana dan Gong sahaja. Pukulan Gong amat penting kerana ia akan menjadi panduan kepada para penari untuk menentukan langkah serta gerak tari mereka. Namun, dalam keadaan tertentu Tarian Piring ini juga boleh diiringi oleh alat muzik lain seperti caklempong dan saluang.

Kebiasaannya penari Tarian Piring hanya menari dalam tempoh masa antara tiga hingga lima minit sahaja dengan persembahan antara tiga hingga tujuh orang. Lebih lagi, sesebuah persembahan Tarian Piring mestilah disertai oleh penari dengan jumlah yang ganjil sahaja.

Tarian Piring yang dipersembahkan oleh seseorang penari akan berakhir apabila semua piring telah dipijak dan penari menutup sajiannya dengan melakukan sembah penutup atau sembah pengantin sekali lagi. Inilah keunikan warisan Tarian Piring yang terdapat di Negeri Sembilan. Bagi mengekalkan tarian ini sebagai warisan, ia telah diangkat sebagai Warisan Kebangsaan 2015 oleh Jabatan Warisan Negara.

Facebooktwitterredditpinterestlinkedinmail