Keunikan Persembahan Randai di Negeri Sembilan

Keunikan Persembahan Randai di Negeri Sembilan

September 2, 2021 Artikel 0

Negeri Sembilan merupakan sebuah negeri yang kaya dengan warisan dan kebudayaannya. Salah satu seni persembahan unik yang menjadi identiti Negeri Sembilan ialah persembahan randai, yang menggabungkan pelbagai elemen merangkumi seni tari, seni silat, seni muzik dan juga kesusasteraan. Randai berasal daripada perkataan “merandai,” bermaksud mengarang atau melingkar suatu kawasan lapang untuk mencari sesuatu yang hilang.

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, randai bermaksud “sejenis tarian yang ditarikan oleh sekumpulan orang yang berdiri melengkung sambil bernyanyi-nyanyi dan bertepuk tangan”. Randai merupakan salah satu seni budaya masyarakat Minangkabau di Jelebu, Kuala Pilah dan Mantin. Pada masa dahulu ia sering dipersembahkan pada pesta menuai padi, upacara perkahwinan dan adat istiadat lain.

Walau bagaimanapun, persembahan randai di Negeri Sembilan mempunyai ciri-ciri yang berbeza daripada di Sumatera Barat. Keunikan persembahan randai dapat dilihat menerusi satu persembahan yang berkonsepkan gerak tari silat yang diselangi nyanyian berunsur lagu rakyat serta diiringi muzik caklempong, rebana, salung dan gong. Suatu masa dahulu, lagu-lagu yang dimainkan dalam persembahan randai merupakan lagu-lagu yang dibawa dari Minangkabau, tetapi kini dalam persembahan randai di Negeri Sembilan, tiga buah lagu telah dipilih sebagai lagu wajib untuk persembahan “Buka Gelanggang” iaitu “Budu Landai”, “Cantik Manis” dan “Anak Bocek”. Pelakon randai juga dikenali sebagai “anak randai” bergantung pada cerita yang dipersembahkan.

Kebiasaannya tidak kurang daripada 20 orang dalam satu persembahan. Anak randai akan mengenakan pakaian tradisional masyarakat Minangkabau serta seluar gelembung yang bertujuan untuk menghasilkan bunyi tepukan. Dalam persembahan randai ini juga, disajikan ucapan yang bersifat perpisahan sehingga randai juga dikenali sebagai teater tradisional rakyat di Minangkabau. Persembahan randai penuh dengan pembicaraan berandai-andai yang dihiasi dengan kiasan-kiasan, perumpamaan, dan lain-lain termasuk seni bicara (pertuturan) yang lahir secara spontan dalam bentuk cerita atau disebut sebagai “kaba” dalam dialek Minangkabau. “Kaba” dalam perkataan Minangkabau ialah cerita dan “bakaba” pula adalah bercerita. Oleh itu, dalam persembahan randai ini para penonton akan dapat memahami perceritaan yang disampaikan menerusi elemen randai tersebut.

Persembahan randai mempunyai fungsi dalam masyarakatnya iaitu merupakan salah satu saluran untuk mendidik generasi muda supaya memahami seni tradisi yang kaya dengan nilai, terutama nilai pendidikan yang terdapat dalam sesebuah cerita. Persembahan randai di Negeri Sembilan sememangnya merupakan salah satu seni persembahan warisan yang unik dan penuh nilai estetika. Tanggungjawab memelihara dan meneruskan persembahan randai seharusnya menjadi tanggungjawab semua pihak agar kesenian ini terus kekal untuk generasi akan datang.

Facebooktwitterredditpinterestlinkedinmail