Perkahwinan Yang Dilarang di Negeri Sembilan

Perkahwinan Yang Dilarang di Negeri Sembilan

September 2, 2021 Artikel 0

Dalam adat Perpatih, jurai keturunannya mengikut nasab sebelah ibu atau matrilineal. Anggota dalam sesebuah suku itu, hubungannya amat rapat dan akrab.

Dipercayai bahawa anggota-anggota yang sama dalam satu-satu suku ini berasal daripada satu moyang. Mereka dianggap seperti adik-beradik dan anak-beranak. Di sinilah timbulnya larangan atau sekatan berkahwin dalam suku yang sama atau berkahwin di luar suku (eksogami). Adat juga menyatakan bahawa sekiranya berkahwin dalam suku yang sama, keluarga itu tidak akan berkembang atau membesar.

Dilihat pada perspektif agama juga tidak digalakkan berkahwin dengan ahli keluarga terdekat. Dipercayai pasangan tersebut akan melahirkan zuriat yang fizikalnya lemah dan mindanya tidak cerdas.

Sungguhpun adat itu ada larangan dan sekatannya, ada cara penyelesaian dan jalan keluarnya bagi membolehkan teruna dan dara tersebut berkahwin. Adat yang perlu diikuti oleh teruna dan dara ini agar boleh dikahwinkan adalah dengan mengeluarkan lelaki daripada sukunya dan dimasukkan kepada suku yang lain.

Dengan cara ini dapatlah perkahwinan diteruskan. Sekiranya berlaku juga perkahwinan dalam suku yang sama maka perut itu diistilahkan cacat dalam adat dan mereka dikeluarkan daripada suku tersebut. Sekatan-sekatan yang dikenakan kepada lelaki dan perempuan iaitu lelaki tidak dibolehkan menyandang gelaran pusaka adat. Seterusnya, perempuan tidak dibolehkan mewarisi tanah pusaka adat.

Perkahwinan sesama suku terbahagi kepada dua kategori. Kategori pertama diklasifikasikan sebagai perkahwinan ‘Sumbang Sewaris’ dan kategori kedua ‘Sumbang Sekadim’. Hukuman yang dikenakan terhadap pasangan yang berkahwin sesama suku dinamakan Hukum Kahar. Sumbang Sewaris bermaksud berkahwin sesama suku. Hukuman yang dikenakan kepada pelaku ialah mereka dihalau oleh ahli-ahli sukunya, tidak dibenarkan duduk di dalam sukunya dan juga tidak diterima oleh suku-suku lain di wilayah atau luak berkenaan. Digambarkan betapa jijiknya pasangan itu di mata masyarakat adat sehingga bekas tempat duduk mereka akan dibasuh. Lelaki yang melakukan kesalahan tersebut akan hilang hal memegang jawatan yang terdapat dalam sistem Adat Perpatih. Seandainya pelaku itu memegang jawatan semasa melakukan kesalahan, jawatannya akan dilucutkan. Selain itu, Sumbang Sekadim pula bermaksud melakukan perkahwinan di kalangan suku yang sama dengan ‘ahli seperut’. Ahli seperut bermaksud ikatan kekeluargaan di kalangan ahli suku yang sama pada kedudukan selepas keluarga kandung. Hukuman yang dikenakan kepada pelaku ialah segala harta benda pasangan dirampas. Pernah berlaku di zaman dahulu mengenai satu pasangan yang melakukan kesalahan tersebut dikenakan hukuman bunuh. Mereka ditangkap, dimasukkan ke dalam bakul dan dibenamkan ke dalam sungai. Kubur mereka dikenali sebagai Jerat Sumbang.

Ungkapan kepada pelaku ialah “Hidup tidak dipelihara, mati tak ditanam, harta diambil, tuan dibunuh”. Kesimpulannya, adat Perpatih melarang pengikutnya berkahwin sesama suku kerana mereka dianggap sebagai saudara. Mereka hanya dibenarkan berkahwin secara eksogami yang bertujuan untuk mengeratkan hubungan antara suku dan mengawal kelakuan sumbang antara suku lain. Perkara ini sangat dititikberat oleh suku yang mengikut adat tersebut kerana sesiapa yang melanggarnya akan diusir dan dianggap telah mencemarkan suku mereka. Mereka akan dikenakan hukuman seperti yang telah disebutkan dan kesalahan mereka ini boleh dimaafkan dengan mematuhi syarat-syarat pengampunan pesalah kepada suku mereka. Antara syarat yang perlu dilaksanakan ialah menyediakan 50 gantang beras, wang tunai RM14.00 dan mengadakan seekor kerbau atau lembu untuk majlis kenduri.

Facebooktwitterredditpinterestlinkedinmail