Dikir Rebana merupakan muzik tradisional Negeri Sembilan yang sangat popular di daerah Rembau. Bentuk persembahan Dikir Rebana adalah dengan nyanyian beramai-ramai dan diirringi oleh alat muzik gendang yang dipanggil rebana dengan pukulan bertingkah. Senikata asal dikir ini adalah dalam Bahasa Arab yang mengambarkan pujian terhadap Nabi dan Rasul. Kini, senikata telah digubah dalam Bahasa Melayu. Dikir Rebana ini dimainkan semasa upacara adat istiadat negeri serta mengarak pengantin dalam majlis perkahwinan.
Dikir Rebana ini juga dikenali dengan berbagai-bagai nama seperti ‘Dikir Arak’ dan ‘Arak Rebana’. Perkataan ‘Dikir’ ini besar kemungkinannya berasal dari perkataan Arab ‘zikir’ yang bermakna mengingat atau memuji Allah SWT. Hal ini bertepatan sekali dengan senikata yang digunakan di dalam Dikir Rebana ini yang kebanyakannya dari Bahasa Arab yang dipetik daripada Kitab Berzanji yang isinya memuji kebesaran Allah SWT. Manakala, bagi perkataan ‘Rebana’ pula adalah bermaksud gendang.
Jadi, dari situlah bermulanya perkataan ‘Dikir Rebana’ yang menjadi muzik tradisional di Negeri Sembilan khususnya di Rembau. Seterusnya, bagi persembahan Dikir Rebana ini lazimnya digunakan untuk mengarak pengantin. Terdapat tiga jenis berarak yang dipersembahkan dalam Dikir Rebana, iaitu Arak Siang, Arak Malam dan Dikir Rampai atau juga disebut sebagai Dikir Duduk. Arak Siang dan Arak Malam itu hampir sama sahaja cara persembahannya, hanya lagu dan senikatanya sahaja yang berlainan.
Sebelum satu-satu persembahan, semua ahli pemain akan menaikkan rebana masing-masing dengan menyelitkan satu lingkaran rotan bulat, biasanya rotan lilin atau rotan semut, yang telah sedia ada di dalam rebana itu. Kemudiannya, ditekankan ke celah antara kulit rebana dengan balur (badan) rebana itu supaya bunyinya nyaring. Sama ada Arak Siang atau Arak Malam, pengantin perempuan yang telah siap diandam akan dibawa turun ke halaman untuk menanti kedatangan pengantin lelaki.
Selepas itu, ketua pasukan rebana itu akan memberi ‘selawat’ ke atas Nabi sebanyak tiga kali berturut-turut dan setiap kali disahut oleh ahli-ahli pasukannya. Setelah hampir selesai satu ayat dinyanyikan barulah pukulan rebana dimulakan dan menyanyilah (disebut berdikir) keseluruhan pasukan itu dengan iringan pukukan rebana sehingga selesai. Pada akhir persembahan selalunya lagu dan pukulan akan dipercepatkan rentaknya. Panjang atau pendek persembahan itu bergantung kepada berapa jauhnya berjalan mengarak pengantin itu.
Lazimnya, kumpulan Dikir Rebana ini akan menyediakan lima atau enam buah lagu.
Antara lagu-lagunya adalah seperti Lagu Arak Siang, Lagu Arak Malam, Ya Rasulullah, Lagu Sultan, Salatun Dawam dan Salatur Rabbi.Bagi rebana-rebana yang digunakan di Negeri Sembilan dan Melaka sama sahaja bentuk dan ukurannya. Balur atau badan rebana itu diperbuat daripada kayu keras seperti batang cempedak dan merebau, kulitnya pula dari belulang kerbau atau lembu diikatkan ke balur dengan rotan sega yang dijalin dengan cantik dan rapi.
Jadi, itulah alat muzik yang digunakan dalam persembahan Dikir Rebana yang terdapat di Negeri Sembilan. Walau bagaimanapun, usaha yang giat perlulah diperluaskan lagi bagi menyambung kesenian muzik Dikir Rebana agar ianya terus diamalkan.
RUJUKAN
- JKKN Pemetaan Budaya. DIKIR REBANA. 2021. Retrieved September 18, 2021, from Pemetaanbudaya.my website: https://pemetaanbudaya.my/culture/dis/154
- Yaakub Idrus. 1982. Dikir Rebana di Rembau, dalam Jurnal Warisan 7. Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Negeri Sembilan