Keindahan Bongai Muzik Tradisional Negeri Sembilan

Video: Persembahan Musik Bongai bertajuk Donak Donai

Bongai adalah suatu kesenian yang tidak asing bagi masyarakat di Negeri Sembilan dan dikategorikan sebagai lagu tradisi yang boleh disama tarafkan dengan “Dondang Sayang” bagi Negeri Melaka dan “Ghazal” bagi Negeri Johor.

Dalam pemahaman mudah, berbongai bermaksud berbalas pantun yang disampaikan dalam bentuk lagu oleh para pemantunnya. Bongai adalah sejenis lagu rakyat tradisional Negeri Sembilan yang dinyanyikan secara solo, berduet atau beramai-ramai. Namun, konsep persembahan adalah hanya seorang sahaja boleh menyanyi atau mengacau ketika lawan atau pasangannya sedang menyanyi.

Tema yang popular bagi persembahan muzik Bongai ini antaranya adalah usik mengusik, berkasih sayang, asam garam rumahtangga dan kehidupan sekampung. Hal ini bermakna para pembongai akan mencipta dan menyanyi berasaskan tema yang dimulakan oleh penyanyi yang pertama atau penjual pantun yang mula-mula. Bongai amat popular dalam masyarakat Negeri Sembilan suatu ketika dahulu, khususnya dalam majlis keramaian yang melibatkan perkahwinan.

Bagi asal usul perkataan Bongai ini terdapat pelbagai pandangan telah diutarakan. Ada pendapat menyatakan bahawa perkataan Bongai adalah perkataan tersendiri dan tidak diambil daripada mana-mana perkataan.

Nama Bongai dicipta daripada dua perkataan iaitu ‘bong’ dan ‘aye’. Perkataan ‘bong’ bermaksud seseorang yang dihormati dan perkataan ‘aye’ pula bermaksud saya.

Ismail Hadi

Walau apapun asal usul perkataan “Bongai” tersebut, yang paling utama adalah persembahan Bongai yang mempunyai keunikan dan keindahannya yang tersendiri dan telah diterima sebagai identiti lagu rakyat di Negeri Sembilan. Bongai merupakan muzik yang berbeza dengan nyanyian rakyat yang lain kerana bagi kebanyakan persembahannya sudah pasti memerlukan tempat yang sesuai agar kelihatan lebih menarik.

Namun bagi Bongai, tidak ada tempat khusus untuk persembahannya, dan boleh dipersembahkan di dalam rumah atau tempat-tempat terbuka dan boleh didengari serta ditonton. Serambi atau bahagian hadapan rumah adalah tempat yang sering digunakan untuk persembahan Bongai. Sesuatu tempat persembahan Bongai tidak perlu dihias dan hanya memadai dengan hamparan sehelai tikar mengkuang.

Para pembongai biasanya akan hanya duduk bersila sambil menyanyi atau bermain alat muzik yang diperlukan. Terdapat pelbagai alat muzik yang digunakan dalam persembahan Bongai mengikut kesesuaian persembahan dan penyanyinya. Antara alat muzik yang biasa digunakan adalah rebana, gong, gendang, salung dan tumbuk kalang. Dalam sesuatu persembahan Bongai, terdapat pelbagai irama yang didendangkan oleh penyanyinya. Antaranya irama yang sering dinyanyikan adalah irama Anak Bocek, irama Petaseh, irama Budu Landai, irama Cantik Manih dan irama Comporai.

Seni kata bagi lagu Bongai mempunyai keindahan dan keunikannya yang tersendiri dan yang lebih menarik lagi adalah pantun dalam Bongai biasanya dicipta secara spontan, iaitu semasa pembongai sedang menyanyi. Disebabkan itulah muzik Bongai ini mempunyai keindahannya yang tersendiri dan menjadi lagu tradisional bagi masyarakat Negeri Sembilan.

error: Content is protected !!