Sistem Masyarakat Adat Perpatih di Negeri Sembilan

Adat Perpatih merupakan suatu adat yang telah lama bertapak di Negeri Sembilan. Ia telah dibawa oleh orang Minangkabau sekitar abad ke-14. Adat Perpatih berasaskan kepada ‘matrilineal’ dan dipercayai berasal dari adat Bodi-Caniago yang diamalkan di Minangkabau Sumatera.

Mereka datang membawa bersama adat dan kebudayaan asal mereka dan dalam masa yang sama penduduk asal Negeri Sembilan iaitu orang Jakun menerima adat dan budaya baharu tersebut. Namun demikian, Adat Perpatih yang diamalkan di Negeri Sembilan sedikit berbeza dengan Adat Perpatih di tanah Minangkabau. Hal ini kerana telah berlaku penyesuaian Adat Perpatih dengan amalan dan adat orang asli yang mengamalkan adat tempatan atau disebut Adat Benar. Adat Perpatih telah membawa banyak perubahan dan pembaharuan ke atas sistem sosial dan politik di Negeri Sembilan. Pengamalan Adat Perpatih di Negeri Sembilan bersifat menyeluruh di dalam setiap lapisan masyarakatnya di luak-luak adat.

Sehingga kini Adat Perpatih memainkan peranan penting kepada sistem pentadbiran Negeri Sembilan yang merangkumi aspek pelantikan pemimpin di semua peringkat, pemilikan harta pusaka, penerapan nilai-nilai keperibadian, kekeluargaan dan kemasyarakatan yang menjadi tonggak kepada keutuhan Negeri Sembilan sebagai Negeri Beradat.

Rosiswandy Mohd. Salleh, Sejarah Pengamalan Adat Perpatih di Negeri Sembilan, Muzium Adat, Negeri
Sembilan, Hlmn 1

Terdapat dua dasar utama dalam Adat Perpatih di Negeri Sembilan iaitu kekeluargaan dan tanah. Masyarakat dalam Adat Perpatih adalah suatu masyarakat yang sangat kukuh dengan ikatan kerjasama kekeluargaan. Hal ini dapat dilihat dengan adanya kumpulan masyarakat kepada yang paling besar iaitu suku dan diikuti dengan perut, ruang dan yang paling kecil iaitu rumpun.

Norhalim Hj. Ibrahim, Sistem Masyarakat Adat Negeri Sembilan (Suatu Pengenalan Ringkas), Dalam Seminar
Kebangsaan Adat Perpatih & Wilayah Budaya Negeri Sembilan, 1984, Hlmn 3

Terdapat 12 suku di Negeri Sembilan iaitu Suku Biduanda, Suku Batu, Suku Tanah Datar, Suku Simalenggan, Suku Batu Belang, Suku Mungkal, Suku Payakumbuh, Suku Tiga Batur, Suku Tiga Meneka, Suku Silemak Minangkabau, Suku Silemak Pahang dan Suku Anak Aceh.

Mohd Hisa Tahat, Sejarah Hubungan Minangkabau dengan Negeri Sembilan, Dalam Jurnal Persatuan Sejarah
Malaysia Cawangan Negeri Sembilan, 1987, Hlmn 95

Oleh itu, perpaduan dan keharmonian kekeluargaan dalam masyarakat Adat Perpatih ini wujud hasil daripada tiga jenis hubungan dasar iaitu hubungan sesama suku, hubungan perut dan hubungan waris. Disebabkan itulah, masyarakat yang mengamalkan Adat Perpatih ini mempunyai ikatan yang kukuh.

Seterusnya, faktor yang penting dalam Adat Perpatih adalah tanah. Tanah ini penting kerana masyarakat yang mengamalkan adat ini adalah masyarakat tani. Pada zaman awal, tanah adalah kepunyaan suku. Ia tidak dimiliki oleh seseorang individu tetapi milik bersama dengan sesuatu rumpun atau keluarga. Mana-mana keluarga berhak meneroka tanah baharu jika tanah yang didiaminya tidak mencukupi dengan hanya memberitahu ketua sukunya. Dengan adanya penerokaan tanah baharu, maka wujudlah empat jenis harta tanah iaitu, tanah pusaka, tanah pembawa, tanah dapatan dan tanah carian. Segala pembahagian ini adalah dijalankan atas dasar muafakat di kalangan ahli-ahli kelompok keluarga.

Kesimpulannya, teras kepada keseluruhan sistem ini adalah hubungan kekeluargaan dan hubungan kerjasama. Sememangnya dalam Adat Perpatih ini amat mengutamakan kepentingan bersama dan diamalkan sehingga kini.

error: Content is protected !!